Kisah Sahabat 3: Indah Khabar dari Rupa (Peribahasa Berat Sebelah)?
warning: entry kali ini kemungkinan panjang berjela-jela. Ambil masa beberapa hari untuk 'draft'. Jika anda salah seorang penyakit kurang sabar minta sediakan secawan teh O bagi meningkatkan tahap kesabaran.
Assalamualaikum wbt buat seluruh muslimin serta muslimat yang masih bernafas di atas muka bumi ini. Rasa kesyukuran penulis panjatkan kepada Sang Pencipta yang memberikan penulis nikmat untuk menaip-naip papan kekunci serta ilham yang diberi. Rasa kecintaan kepada Kekasih Pujaan Rasullullah Muhammad Bin Abdullah kerana tanpa beliau maka gelaplah hidup penulis.
Atas alasan apa untuk penulis titipkan kisah sahabat penulis ini adalah untuk dikongsikan kepada semua pembaca dengan izin Nya betapa penulis mengkagumi semangat perjuangan beliau. Dari mana penulis ingin mulakan kisah sahabat ini tidaklah sukar. Penulis mulakan dengan bila pertama kali penulis kenal sahabat penulis ini.
Pertama kali penulis melihat beliau memang tak dapat penulis ingat secara tepat tetapi penulis ingat dengan jelas semasa penulis masih 'freshie' di dalam kampus. Penulis amat gemarkan program bersifat islamik serta kebajikan, walau ketika itu penulis sudah jauh dari cahaya Allah tapi entah mengapa penulis masih tidak segan silu menyertai program anjuran persatuan Islam di kampus penulis. Ketika itu kami (peserta program) dikehendaki membersihkan masjid dan tanah perkuburan. Alhamdulillah kerja kami selesai dengan jayanya. Kami diarah untuk berkumpul di dalam masjid bagi sesi penutup. Pada saat ini sahabat penulis ini meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diri penulis. Kesan apa? Ingin penulis menceritakan dahulu gambaran sahabat penulis ini terlebih dahulu. Ini berdasarkan 'first impression' penulis; mukanya sangat bengis malah tidak keterlaluan jika penulis gambarkan beliau sebagai seorang gangster. Lansung tidak punya ciri-ciri ustaz. Namun entah bagaimana dengan rupa yang bengis itu sahabat penulis berada di depan masjid, di hadapan kami sambil memegang mikrofon semua untuk memberikan tazkirah kepada peserta program. Hati penulis sangat ragu "Bagaimana orang seperti ini boleh duduk depan bagi tazkirah? Layak ke?" Namun Allah itu tidak melihat rupa seseorang, saat sahabat penulis itu memberikan tazkirah penulis terus memberikan perhatian. Hebat! Detik hati penulis sebaik sahaja tazkirah itu tamat. Penulis masih ingat ketika itu sahabat penulis bergandingan dengan seorang senior penulis yang bertubuh agak gempal. Mereka berdua sangat lucu tapi padat dengan pengisisan. Berbalik kepada kesan yang penulis katakan tadi, timbul perasaan yang sukar penulis tafsirkan. Jika orang seperti sahabat penulis yang rupanya ala-ala ganster juga mahu kepada Islam yang sebenar apa lagi yang penulis tangguhkan? Saat itu penulis dapat rasakan itulah permulaan jalan perubahan penulis. Jalan perubahan yang menjadi titik tolak kepada penghijrahan yang penulis harapkan bersifat abadi.
Penulis sudah meningkat usia ke tahun kedua pengajian. Sahabat penulis ini seakan hilang dari dunia kampus. Mungkin juga kerana penulis tidak tahu namanya dan penulis juga tidak terlalu mengambil pusing akan hal beliau. Suatu hari penulis berehat di bilik sahabat rapat penulis. Kami bersembang-sembang kosong sahaja. Tiba-tiba sahaja teman penulis menunjukkan carta organisasi persatuan Islam kampus. Seorang demi seorang teman penulis ceritakan perihal mereka(backgroung: Nama, asal, etc) pada penulis. Hebat teman penulis ini. Penulis rasa-rasalah teman penulis ini kenal semua orang dalam kampus ini. Namun penulis sangat tertarik apabila teman penulis mula menceritakan perihal sahabat penulis ini. Sangat menarik, mengapa? Teman penulis khabarkan bahawa sahabat penulis ini lari dari persatuan Islam di kampus ini. Tambah teman penulis dia sendiri tidak pasti kenapa sahabat penulis seakan-akan menghilangkan diri dari persatuan Islam tetapi teman penulis beranggapan bahawa senior-senior mungkin terlepas pandang beliau menyebabkan beliau makin jauh dengan persatuan Islam itu. Sayu hati penulis ketika mendengar cerita itu. Maka tidaklah pelik mengapa penulis sendiri sangat jarang melihat beliau di mana-mana majlis Islamik. Bukan bermaksud penulis mencari-cari kelibat beliau tetapi penulis kesan tazkirah yang beliau beri semasa di masjid dulu masih lagi terngiang-ngiang di telinga penulis. Penulis sejujurnya suka mendengar beliau memberi tazkirah. Sayang sekali 'talent' yang beliau miliki kini hilang dari persatuan Islam. Penulis merasakan kehilangannya seakan-akan satu kerugiaan pada persatuan Islam ketika itu dari pandangan penulis.
Semasa semester ke-2 tahun kedua pengajian hari-hari masih berjalan seperti biasa. Pada waktu ini penulis diberi kesempatan oleh Yang Maha Memberi Mengampuni untuk merasai nikmat Islam yang sebenar-benarnya. Manis sungguh nikmat itu. Allah memilih penulis untuk berubah kearah lebih baik. Dengan nikmat ini penulis berkesempatan untuk menghadiri 'Mesyuarat Agung' yang kali keberapa penulis tak ingat. Asalnya penulis tak mahu pergi, tapi teman penulis mendesak-desak penulis supaya turut serta. Sesampai disitu ramai lagi sahabat dan sahabiah yang lain turut berada disitu. Penulis agak kekok dengan situasi itu. Dihujung mesyuarat itu diumumkan organisasi yang baru. Penulis rasa takziah pada teman penulis yang mendapat amanah yang besar dari Allah. Apa yang lagi penulis terkejut tetapi penulis tersenyum apabila melihat sahabat penulis yang dikatakan melarikan diri itu ada disitu. Amanah beliau besar dan lagi berat. Namun ketika itu penulis tidak lagi ragu-ragu dengan kemampuan sahabat penulis. Ketika itu penulis berharap penulis tidak salah menilai.
Masa tetap berputar, tidak menanti manusia yang sedang alpa dalam dunia mereka sendiri. Alhamdulillah saat penulis menjadi pelajar tahun ketiga penulis berkesempatan bersama-sama teman penulis membantu tarbiyah. Sahabat penulis juga ada bersama. Penulis sangat mengkagumi bukan sahaja sahabat penulis malah semua yang berada didalam tarbiyah. Penulis rasakan terlalu banyak ilmu yang dikongsikan oleh sahabat penulis sepanjang penulis berada di dalam tarbiyah. Ada masanya sahabat penulis tersangatlah tegas, oleh kerana penulis agak takut dengan orang yang suka meninggikan suara jadi ada kalanya penulis berasa kekok bila mana berada di dalam tarbiyah. Teman penulis banyak memberikan semangat. Namum ketegasan sahabat penulis ada perlunya pada ketika saat itu memerlukan fokus semua yang terlibat. Penulis sungguh sangat menghormati pendiriaan sahabat penulis. Sahabat penulis bijak menambah unsur humor dalam ucapannya. Apa yang penulis dapat kenal pasti kelebihan sahabat penulis ialah sahabat penulis sangat peka dalam mengingati nama. Beliau jarang bertanya kali kedua nama seseorang jika sudah diberitahu. Mungkin itu salah satu aset dakwah beliau. Sesetengah orang pernah berkata kepada penulis bahawa "Manusia mudah menghargai atau rasa terharu jika seseorang sudi mengingati nama mereka". Percaya atau tidak penulis sendiri rasa dihargai jika orang mampu mengingati nama penulis. Tuntasnya penulis selesa berkerja dan tidak punya masalah dengan 'style' kerja sahabat penulis itu sepanjang penulis bersama teman penulis melayari bahtera tarbiyah beserta beberapa sahabat dan sahabiah yang lain.
Namun Allah mungkin ingin menguji kata-kata penulis. Tatkala penulis dikhabarkan akan berkerja dengan sahabat penulis entah mengapa penulis menangis ketakutan. Penulis mula terbayang-bayang ketegasan yang bakal sahabat penulis lemparkan kepada penulis. Tambahan pula semua senior-senior meminta penulis agar memperbanyakkan sabar apabila berkerja denagn beliau. Penulis menjadi keliru, kerana selama penulis menilai 'style' kerja sahabat penulis insyallah beliau tidaklah seseksa yang digambarkan oleh yang lain. Penulis layarkan persoalan itu kepada teman penulis, alhamdulillah teman penulis memberikan senyuman dan kata-kata semangat. Kebimbangan penulis walau masih ada namun penulis tetap juga hadapi. Apa lagi jalan yang penulis ada melainkan berserah kepada Allah semoga kami mampu berkerja dengan baik.
Berbalik kepada sahabat penulis, berkat dengan izin-Nya penulis sudah menempuh kerja bersama sahabat penulis. Benar, beliau sangat penulis kagumi dan insyallah akan sentiasa kagumi. Sahabat penulis tidak pernah tinggalkan penulis terkontang-kanting, ada kala penulis bertanyakan soalan-soalan yang remeh dan sahabat penulis masih bersedia menjawab. Sahabat penulis ini bukanlah orang yang sempurna, penulis akui. Mulutnya kadang kala 'laser', jari jemari nya ligat mengupdate 'harsh' status di Facebook. Namun apa yang penulis kagumi ialah sifat kepimpinannya dan juga 'style' kerjanya. Bukanlah tujuan penulis menceritakan perihal sahabat penulis panjang berjela-jela ini tidak lain hanya untuk berkongsi kepada semua bahawa banyak yang kita tidak mengetahui mengenai seseorang namun tetap jua kita mengkritik malah menilai secara 'negative' kepada seseorang. Sahabat penulis ini bukanlah 'Indah khabar dari rupa' akan tetapi ' Indah khabar seindah perilaku'. Penulis sentiasa mendoakan agar sahabat penulis agar sentiasa istiqamah dalam gerakan Islam dan tidak akan lelah menjual jiwaraga serta harta atas nama perjuangan gerakan Islam dalam mencari reda Ilahi. Moga kebahagiaan sentiasa menjadi milikimu sahabatku.
Aku hairan melihat engkau
rela dibenci oleh manusia
dalam usahamu memberi yang haq
tidakkah engkau khuatiri yang mendatang?
tidakkah engkau punya kebimbangan?
Namun aku pasti kau punya pendirian sendiri
bukan hawa nafsu yang kau utamakan
Teruskanlah pejuang,
lebarkan sayapmu,
hunuskanlah senjatamu kepada yang perlu
Moga rahmat Ilahi sentiasa memayungi hidupmu
Sang Pejuang Agama!
p/s: Penulis terlupa nak kongsikan, sewaktu penulis di tahun tiga pengajian seorang senior kongsikan kisah kemana menghilangnya sahabat penulis yang menjadi misteri itu. Senior penulis kata sahabat penulis walau dia lari tapi dia tak tinggal medan dakwah. Dia aktif sebagai aktivis di luar. Kebenaran kisah ini penulis tak pasti tapi ada benarnya juga. Wallahua'lam.
~penulis khayalan~
Comments