Selamat Hari Lahir, Ayah!

Adik-beradikku semua memanggil aku dengan gelaran "anak ayah". Dan aku bangga dengannya. 

Kasih ayah 

Kali ini ingin aku kongsikan mengapa ayahku sangat istimewa dihatiku. 
Aku kurang rapat dengan ibuku yang aku panggil Mama. Mama sangat tegas denganku sejak aku kecil lagi. Manakala ayah hanya sekali-sekala sahaja tegas terutama bila aku pulang lewat dari bermain galah panjang dengan kawan-kawan. Ayah sering memanggil aku dengan panggilan seperti "Anak ayah hari ini sihat?", "Anak ayah dah makan?" Mungkin disebabkan itu aku paling rapat dengan ayah berbanding dengan adik-beradikku yang lain.
Ayah selalu buat macam ni masa aku kecik2 dulu  

Antara lain yang aku dapat kongsikan ialah aku belajar memasak dari ayahku. Sewaktu aku Darjah 6 Mama ditugaskan untuk berkursus selama 3 bulan di Ipoh. Oleh itu Mama tidak terpaksa menetap di Ipoh dan pulang ke rumah pada hujung minggu. Pada awalnya kehidupan keluarga sangat sukar tanpa Mama. Yang ada di rumah waktu itu cuma ayah, aku serta dua orang adik lelakiku. Abang serta dua kakakku  belajar di sekolah asrama. Aku hanya 12 tahun dan tidak pernah tahu memasak apatah lagi mengemas rumah. Setiap hari ayah pasti akan belikan lauk dari kedai. 
2 minggu berlalu,
Mama mula bising kerana ayah membeli lauk di kedai sehingga bahan-bahan di dalam peti sejuk dibiarkan hampir busuk. Starting on that day, ayah mempamerkan kepadaku skill kulinarinya yang 'hebat'. Ayah memasak sambil melihat resepi, malah duduk pula. Beza antara cara masakan ayah dan Mama ialah ayah menyediakan dahulu bahan-bahan manakala Mama terus sahaja memasak. Pelbagai insiden lucu ketika ayah memasak ialah apabila mahu memotong tulang ayam ayah pasti menggunakan anak batu. Mengapa ianya lucu? Kerana Mama hanya menggunakan tangan jika berada dalam situasi yang sama, pelik bukan? 
Berbalik kepada bagaimana ayah mengajar aku memasak. Ya, ayahlah orangnya. 
Hal ini terjadi apabila aku baru pulang dari sekolah dan ayah masih belum pulang ke rumah untuk rehat tengah hari. Oleh kerana kasihankan ayah yang setiap hari keletihan untuk menyediakan makanan tengah hari buat aku dan adik-adikku aku bercadang untuk masak untuk ayah. Aku ambil ikan dan membilasnya dengan air dan ku lumurkan dengan serbuk kari dan terus aku goreng ikan-ikan itu. Pasti kalian sudah tahu apa kesalahanku. Ya, aku telah menggoreng ikan itu tanpa menyiang terlebih dahulu. Namun aku benar-benar tidak tahu. Wajah ayah sangat gembira apabila mengetahui bahawa aku menyediakan makanan tengah hari untuknya. Apabila ayah mula mahu menjamah alangkah terkejutnya ayah apabila mengetahui ikan tadi lansung tidak disiang. Sejak dari itu ayah mengajar aku bagaimana meyiang ikan, memotong ayam, memotong sayur, memasak nasi dan memperkenalkan kepadaku nama-nama bahan penting dalam masakan. Antara masakan yang aku pernah masak dengan bimbingan ayah ialah kari ikan dan gulai ayam masak lemak cili api dan sayur campur. Bagi aku sejujurnya ini antara kenangan terindah aku bersama ayah.

Ayah pasti akan memujuk aku jika aku menangis. 

Terlalu banyak untuk ditulis berkaitan ayah. Kalian juga pasti merasakan perkara yang sama kan? Ayah telah membesarkan kita dan menyara kehidupan keluarga. Aku sangat beruntung mempunyai ayah. Jasa ayah tidak dapat pernah ku balas, oleh sebab itu aku perlu menjadi anak yang solehah supaya aku dapat mendoakan ayah selalu. Hingga ke akhir hayat ayah tetap mempunyai kedudukan yang sangat istimewa di hatiku selamanya.  
  SELAMAT HARI LAHIR YANG KE - 60 AYAHKU.


My Hero, ayah!  

~penulis khayalan~

Comments

Popular posts from this blog

kisah sahabat 1

new world and yet new starting point!

Kembali Menulis